Instafamous Farah Lee kata semua yang bergelar ibu sentiasa mahu yang terbaik untuk anak tapi jangan sampai ibu jadi stres semata-mata hendak memuaskan hati orang lain. Jangan bandingkan cara kita dengan cara ibu lain.
Farah mengakui dia bukanlah ibu yang terlalu ekstrim soal pemakanan anaknya Maream. Baru-baru ini di laman instagramnya ramai yang telah menegur mengapa anaknya, Maream semakin kurus.
Sudah namanya insta famous, sudah tentu apa sahaja yang dikongsi oleh Farah Lee menjadi bualan dan pertanyaan kebanyakan pengikutnya di Instagram. Mereka yang mengikuti perkembangan dua beranak ini pasti akan perasan keadaan fizikal Maream yang semakin kurus kebelakangan ini.
Justeru, ibu tunggal yang sangat positif ini memberikan jawapan terhadap segala persoalan pengikutnya mengenai corak pemakanan Maream.
Sekarang Maream dah kurus sikit. Bila orang tegur Maream makin kurus omma tersedih sikit sebab rasa macam tak bagi Maream cukup makan
Omma ni, sikit2 akan tanya Maream lapar ke tak. Yelah budak tengah lasak kalau dah main memang lupa makan. Tapi Maream ni actually antara budak yang kuat makan sebenarnya, dari kecik sampai sekarang. Bangun2 tidur je cakap “Omma, Maream lapar lah” Since 6 bulan sampai setahun memang omma betul2 jaga makan Maream, semua omma masak sendiri langsung tak bagi makanan luar dan fully susu badan. Bila dah setahun lebih baru start bagi makanan luar dan start minum fresh milk (full cream) sebab susu dah tak cukup, tapi memang limit sangat jajan, sweets, air manis, fast food. Tapi takdelah jaga sangat sampai semua nak organic dan natural, mak tak bedaya lagi
Ads
Dan sebab tahu sekarang macam susah sangat nak avoid chemicals dalam makanan, sebab tu mana yang mampu avoid omma avoid contoh kat rumah memang takde frozen food (nugget,fries,hotdog etc) yang normally banyak preservative tu, yang banyak coloring, air teh/coffee, carbonated drink memang Maream tak minum.
Tapi coco crunch, honey star tu terpaksa bagi walaupun tahu banyak gula sebab tak sempat pepagi nak masak. Biskut, roti, peanut butter tu pun bagi je sebab cepat hehe.. Sebab tu omma cakap, mana yang mampu avoid omma cuba especially yang terang2 tak bagus. Yelah omma ni kadang nak poopoo pun tak sempat haha kang jaga sangat omma pulak stress pastu tak bagi Maream makan terus hiks..
Ads
So mommies, semua kita nak yang terbaik untuk anak kan. Kita cuba ya semampu boleh. Buat mana yang baik dan elak mana yang buruk. Tapi jangan sampai terstress sebab kita compare kita dengan ibu lain. Emosi ibu paling penting dalam besarkan anak. Ibu lain pun takde hak nak judge cara orang. Lain orang lain caranya. Kita cuba buat cara yang selesa dan berkesan untuk kita. Contoh macam omma, bila orang tegur Maream makin kurus, omma potongkan rambut Maream pendek supaya nampak macam donut sikit muka tu. Kan senang. Potong sendiri pulak tu. Tak stress jimat duit
Berani tak anak anda? Berani dalam konteks pendidikan awal kepada kanak-kanak maksudnya boleh berdikari, yakin diri dan berani mencuba perkara baru. Memang nak didik anak, kena dilakukan pada awal usianya .
Oleh itu, pepatah ada yang menyebut ,’melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Mendidik anak pada zaman serba moden ini memang mencabar minda. Sebagai ibubapa sudah pasti kita ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Namun, cara memberikan yang terbaik itu adakalanya silap tanpa kita sedari.
Salah satu cara didikan adalah membentuk keberanian dalam diri anak sejak kecil lagi. Perkongsian Dr. Hj. Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang merupakan pakar motivasi diharap dapat mengubah cara didikan kita kepada anak.
Anak-anak yang berjaya di sekolah sama ada dalam pelajaran atau ko-kurikulum adalah mereka yang ada keberanian. Berani mencapai kecemerlangan, bercakap di depan orang ramai, bergaul, bertanya apabila tidak faham, menjadi ketua, memegang jawatan, mewakili kelas atau sekolah dan sebagainya. Apabila anak-anak menunjukkan keberanian maka mereka akan diberikan pelbagai peluang.
Mereka yang aktif di alam persekolahan adalah kerana mereka berani untuk melibatkan diri dalam kelas serta program yang dianjurkan. Dengan keberanian mereka mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan. Semua ini sangat membantu anak-anak di alam dewasa nanti.
Bayangkanlah, ketika anak orang lain sudah boleh berdikari sana sini, anak kita hendak bertanya sesuatu pada cikgu pun masih minta orang lain temankan. Ketika anak orang lain berani ikuti program-program perkemahan, anak kita tidak mahu turut serta sebab tiada kawan.
Sebab itulah anak-anak perlu ditanam dengan sifat berani pada usia yang seawal mungkin.
Berani bukanlah sesuatu yang hadir ketika lahir sebaliknya sifat ini terhasil bergantung kepada cara ibu bapa mendidik dan membesarkan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu tahu cara terbaik menjadikan anak-anak mereka seorang yang berani secara bertempat.
Sebab kita tidak mahu pula apabila anak menjadi berani tidak bertempat lalu dia melawan dan biadap dengan guru, merempit dan menyertai lumba haram, mencuri, memukul, bergadul dan sebagainya. Sebab kelakuan negatif sebegitu juga memerlukan satu bentuk keberanian.
Berikut adalah beberapa tip yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi menjadikan anak-anak seorang yang berani:
1)Usah cepat membantu anak dalam pelbagai perkara
Semua ibu bapa sayangkan anak-anaknya. Tetapi usah jadikan rasa sayang sebagai alasan untuk cepat membantu mereka. Bukanlah salah membantu anak-anak kita tetapi ada ketikanya anak-anak perlu diberikan peluang mencuba dan melakukan kesilapan. Dari kesalahan dan kesilapan inilah mereka belajar. Ketika anak masih bayi, apabila dia mula pandai berjalan maka dia mula belajar naik tangga. Biasanya ibu bapa akan terus dukung anaknya dan bawa naik ke tingkat atas sebab takut anak jatuh. Ibu bapa yang prihatin sebaliknya akan mengawasi dan membiarkan anak-anaknya menapak satu anak tangga ke anak tangga yang lain. Dari situ anak itu belajar.
2)Biarkan anak dimarahi guru apabila mereka lakukan kesalahan
Ada ibu bapa yang sanggup menghantar buku latihan anaknya semula ke sekolah kerana bimbang anaknya nanti dimarahi guru atau didenda. Mungkin jika itu kesalahannya yang pertama maka kita hulurkan bantuan dengan menghantar buku itu ke sekolah. Tetapi bagaimana pula kalau masalah yang sama dilakukan oleh anak berulang kali? Bermakna anak kita sudah membentuk satu tabiat tidak bertanggung jawab. Oleh itu biarkan anak dimarahi dan didenda oleh gurunya. Dari situ dia akan belajar. Biar dia menjadi seorang yang berani menerima kesalahan dan berhadapan dengan risikonya. Sebagai ibu bapa usah campur tangan.
3)Berikan anak-anak peluang bergaul
Dunia internet hari ini meluaskan pergaulan anak-anak. Mereka boleh kenal sesiapa sahaja melalui laman sembang, facebook, twitter dan seumpamanya. Namun begitu, pergaulan bentuk ini tidak sama seperti pergaulan secara langsung. Anak-anak tidak boleh dikurung di rumah dan dihalang dari keluar bersosial. Biarlah anak berkawan asal sahaja kita tahu siapa rakan-rakannya, ibu bapa mereka, aktiviti yang dilakukan serta lokasi pertemuannya. Dalam masa yang sama lakukan pemantauan sebab kita tidak mahu anak-anak terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat.
4)Dedah anak-anak dengan aktiviti lasak
Aktiviti-aktiviti lasak seperti ‘flying fox’, panjat dinding batu, berkuda, memanah, berenang dan seumpamanya dapat meningkatkan keberanian dalam diri anak. Bayangkan di barat ada aktiviti ‘bungee jumping’. Aktiviti ini memerlukan kaki kita diikat dan kemudian terjun dari satu kedudukan yang tinggi langsung ke bawah. Pasti menakutkan dan menggerunkan. Tetapi apabila selesai mencubanya pastilah keberanian diri meningkat. Malah di Malaysia kini sudah ada aktiviti ‘bungee jumping’ ini. Sebenarnya banyak lagi aktitivi yang boleh dilibatkan bagi menguji keberanian anak-anak. Misalnya adakah anak kita berani naik ‘roller coaster’ atau sentiasa mengelak. Jadikanlah anak kita seorang yang lasak dan berani kerana ia penting dalam pembentukan jati diri mereka.
5)Bawa anak ke majlis orang dewasa
Berikan anak-anak bergaul dengan orang tua atau mereka yang lebih dewasa dari usianya. Berikan dia ruang bertanya dan bercerita. Pengalaman ini akan menjadikan dia seorang yang berani berdepan dengan orang ramai nanti. Ada ibu bapa yang masih berpegang pada kepercayaan bahawa membawa anak-anak ke majlis orang tua sebagai kurang adab. Kita tengoklah apa bentuk majlisnya itu. Memang ada yang tidak sesuai di bawa anak. Tetapi kalau majlis menyambut bayi, hari lahir, kenduri kendara, perkahwinan dan sebagainya maka bawalah mereka bersama.
6)Latih anak mengambil risiko
Anak-anak perlu dilatih agar berani mengambil risiko. Mengambil risiko bukanlah bermakna melakukan sesuatu pekerjaan secara membuta tuli atau meletakkan dirinya pada kedudukan yang membahayakan. Ada bezanya melakukan kerja bahaya dengan kerja berisiko. Memanjat pokok itu kerja berisiko. Tetapi kalau bergayut di dahan tinggi tanpa sebarang langkah keselamatan itu adalah kerja berbahaya. Begitu juga memberi peluang anak remaja belajar membawa motosikal itu adalah kerja berisiko. Tetapi membiarkannya membawa motosikal tanpa memakai topi keledar dan memecut laju itu kerja berbahaya. Anak-anak perlu tahu beza antara risiko dan bahaya.
7)Bercakap secara positif.
Bagi menanam keberanian dalam diri anak, ibu bapa perlu bercakap secara positif dan sentiasa menunjukkan pada anak yang kita yakin serta percaya akan kebolehan dirinya. Anak-anak juga perlu tahu dan sedar yang ibu bapanya bersedia menerima kekurangan, kesalahan dan kesilapan yang dilakukannya dengan hati yang terbuka asasl sahaja mereka belajar sesuatu dari pengalaman itu. Sifat terbuka ibu bapa penting bagi menjadikan anak-anaknya seorang yang berani mencuba dan bertindak.
Kadangkala kita tidak menjangka bakat anak. Tak sangka dari posing suka-suka rupanya membawa tuah. Ikuti perkongsian ibu ini tentang anaknya, Umyra yang menonjolkan bakat dalam bidang peragaan, nyanyian & lakonan.
Sejak kecil lagi Umyra Az Zahrah, 6 tahun boleh dikatakan , mula menonjolkan bakat dalam bidang ini secara serius di usia 5 tahun. Menurut ibunya, Haznita Fazleen Hashim, Umyra telah mula tunjuk bakat sejak usia 2 tahun lagi. Si cilik ini bersama ibunya juga turut muncul dalam rancangan TV Pa&Ma yang bertajuk Anak-Anak Millenial yang ke udara pada 12 Februari 2019, jam 12 tengah hari dan ulangan 9 malam di Astro Prima & Astro Prima HD.
“Pada mulanya kami sekeluarga hanya memerhati gelagat Umyra apabila umyra mempamerkan aksi-aksi peragaan ala-ala model cilik di hadapan kamera seawal usia 2 tahun.
“Tapi lama kelamaan, apabila usia Umyra menginjak ke 4 tahun, kami perhatikan cara Umyra berposing di hadapan camera dan hasil gambar-gambar Umyra lebih baik dan ‘advance’ dari rakan-rakan seusianya,” kata Haznita.
RAMAI TEGUR BAKAT UMYRA
Kata Haznita, ahli keluarga dan rakan-rakan perasan & menegur bakat yang ditunjukkan Umyra.
“Ahli keluarga yang lain, kawan-kawan & ada ketikanya orang-orang luar menegur keistimewaan Umyra mempamerkan aksi ala-ala modelnya. Dalam masa yang sama, Umyra juga sering membisikkan rahsia cita-citanya pada seawal usia 5 tahun untuk menjadi model kepada kakak & abangnya. Pada waktu itulah kami sedar yang Umyra cuba menyampaikan kepada kami bakat yang ada pada dirinya di bidang peragaan,” kata ibu kepada 6 anak ini.
BANTU ANAK KEMBANGKAN BAKAT
Sokongan ibu bapa amat penting bagi menyerlahkan lagi bakat si kecil. Bagi menajamkan skil dan kelebihan yang ada, Haznita dan suami memberikan dorongan padu buat Umyra dalam hobinya iaitu melukis dan mewarna.
“Bagi menyokong lagi hobi melukis & mewarna Umyra Az Zahrah, kami sering membekalkan peralatan melukis dan mewarna yang baru, terkini dan sesuai dengan usianya supaya umyra lebih rancak berkarya. Kami juga membenarkan Umyra download beberapa aplikasi mewarna & melukis di handphone untuk dia gunakan di masa lapang dan berpeluang menjadi lebih kreatif.
“Perkembangan pemikiran, bakat & daya kreativiti anak-anak seharusnya lebih disokong dan dibantu dengan aktiviti yang digemari oleh anak-anak. Oleh yang demikian, saya tidak pernah sesekali menentukan apa aktiviti yang harus Umyra buat mengikut kehendak saya, tapi sebaliknya, saya akan membantu dan mendorong Umyra mengembangkan lagi daya pemikiran, penelitian dan kreativiti Umyra menerusi aktiviti pilihannya sendiri. Ini lebih baik,” ujar Haznita.
PERKEMBANGAN TERKINI
Sejak menjalani sesi photoshoot pertama kali bersama Glitz pada hujung tahun 2018, bakat yang pada Umyra mula mendapat perhatian dari beberapa Talent agensi. Butik Pakaian Kanak-Kanak yang berminat untuk menawarkan Umyra sebagai model produk mereka.
Umyra juga baru sahaja selesai satu penggambaran sebuah rancangan Talk Show, Si Cilik Licik untuk siaran Astro Ceria. Dan yang paling terkini, Haznita memberitahu yang dia baru sahaja dihubungi oleh wakil sebuah Model Talent Agency dari Indonesia & Singapura yang berminat untuk membuat sesi Photoshoot & Casting untuk Umyra. Dia berharap ada rezeki untuk Umyra buat anak bongsunya itu.
BAKAT NYANYIAN DARIPADA AYAH
Dari segi nyanyian, Umyra 100% mendapat bakat dari ayahnya. Tarian pula mungkin dari bakat ibu susuannya yang juga merupakan makcik kandungnya yang memang berbakat dalam bidang tarian.
“Nampaknya Umyra perlu masa lagi dalam mengasah bakatnya dalam kedua bidang tersebut. Tapi saya tidak menafikan memang ada bakat nyanyian & tarian pada Umyra. Senang & mudah menghafal lirik lagu, cepat menguasai step-step tarian dari pemerhatian yang singkat melalui siaran tv, Youtube mahu pun secara langsung,” kata Haznita.
GIFTED TETAPI PERLU DILENTUR. IBU AYAH PERLU JADI TULANG BELAKANG
“Bagi ibu ini bakat adalah gifted yang perlu dilentur untuk anak-anak. “Seandainya bakat pada anak adalah gifted tanpa kita lentur, kanak-kanak tidak akan dapat mengasah bakat secara semulajadi. Kita perlu menjadi tulang belakang yang kuat untuk anak-anak lebih mengenali, memahami dan yakin dengan gifted dalam diri mereka. Seandainya bakat semulajadi, mahupun gifted, tanpa kita bantu mereka untuk melentur dengan baik, ianya akan menjadi sia-sia dan tidak adil bagi anak-anak
“Sebagai ibu, saya benar-benar mengharapkan Umyra Az Zahrah akan benar-benar memahami jiwa & naluri hatinya sendiri dalam apa juga bidang yang diceburinya pada masa akan datang. Saya sangat berharap agar saya tidak akan pernah untuk mendengar keluhan atau kekecewaan dari Umyra dalam menongkah semua arus dalam kerjaya pilihannya & kehidupan yg bakal ditempuhinya nanti. Harapan saya sama untuk ke enam enam anak saya, saya ingin sentiasa mendengar kebahagiaan mereka. Insya allah,” kata Haznita mengakhiri perbualan.
TIP KEMBANGKAN BAKAT ANAK DARIPADA IBU BAPA UMYRA
Bakat yang ada pada anak adalah gifted. Ia perlu dikembangkan dan tidak sepatutnya disia-siakan.
Kalau nampak anak minat, bawalah anak ke tempat/ platform yang boleh membantu anak mengikut kemampuan anak sendiri.
Ibu bapa tidak boleh memaksa kerana kreativiti adalah dari dalam diri anak.
Dedahkan anak dengan pelbagai aktiviti bagi mencungkil bakat-bakat lain.
Ibu bapa perlu mengaggap anak-anak kawan, lawan dan mesti terbuka.
Pada masa dahulu anak-anak hanya mengikut arahan pada zaman sekarang ia tidak sesuai.
Kita mesti memahami isi hati anak kita. Minat anak kadangkala akan mendorong kepada karier yang lebih baik. Kini ramai orang muda yang sudah ada empayar pada usia muda.
Tidak ada yang mustahil apabila ada bakat dan didorong dengan cara yang betul. Anak boleh pergi jauh.
Ibu bapa kena ada guideline. bantuan daripada adik beradik yang lain untuk memantau amat membantu.
Galakkan abang dan kakak boleh memainkan peranan sebagai pengganti ibu bapa untuk menjadi pembimbing bagi membantu dan memantau.
Biarkan anak saling berkongsi idea & perlu memberi sokongan antara satu sama lain.
Didik abang dan kakak untuk menyokong adik-adik sepertimana ibu bapa sudah lakukan kepada mereka sebelum ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak pendiam dan kurang bergaul atau lebih tepat ialah introvert seringkali membuatkan mama dan papa risau. Lebih-lebih lagi bila sesi persekolahan tadika bakal bermula dalam tempoh kurang dari sebulan, bolehkah dia mendapat kawan?
Mama dan papa sudah tentu kita resah apabila anak kita dikategorikan ‘tidak pandai berkawan’. Mereka kelihatan seperti mahu menyertai rakan-rakan lain bermain tetapi seperti ada ‘sesuatu’ yang menghalang mereka berbuat demikian dan selesa bermain bersendirian atau dalam kumpulan kecil. Mari kita fahami situasi ini dan apa yang boleh dilakukan bagi membantu anak-anak ini lebih yakin dan ceria.
Kanak-kanak dalam kategori introvert ini lebih selesa berada dalam sebuah kumpulan yang kecil. Ini tidak bermakna mereka tidak pandai bergaul, sebaliknya mereka boleh berkawan seperti kanak-kanak lain. Cuma kanak-kanak introvertmemerlukan lebih banyak masa untuk mendekati dan menyesuaikan dirinya dalam kelompok rakan-rakan barunya itu. Jadi mama dan papa perlu bersabar menghadapi minggu pertama persekolahannya nanti.
skil pergaulan Kanak-kanak berkembang pada pada usia tiga tahun di mana mereka sudah mula yakin dalam pergaulan dengan rakan sebaya dan orang dewasa.
KENALI SIFAT KANAK+KANAK INTROVERT
Kanak-kanak introvert selalu dilabekkan sebagai individu yang kurang memiliki kemahiran sosial walhal sifat ini wujud secara semula jadi.
Si introvertmemerlukan masa yang tenang untuk memproses setiap tindakannya menerusi kaedah pemerhatian.
Si introvert memerlukan masa untuk sesi memanaskan (warm up).
Si introvert lazimnya memiliki tahap kebimbangan yang agak tinggi dalam diri.
Mereka juga lebih fokus dengan perasaan dan pemikiran peribadi berbanding interaksi sosial secara langsung.
10 PANDUAN UNTUK MAMA DAN PAPA
Jangan panik dan naik angin bila melayan kerenah si introvert yang seolah-olah sukar untuk bergaul dan fobia bersosial.
Kawal reaksi anda kepadanya berkenaan sikap menyendirinya. Hal ini kerana si introvert akan menjadi lebih menyendiri.
Apabila mama dan papa menyuruh si manja menjadi individu yang bertentangan dengan keperibadiannya, hal ini secara tidak langsung ia menggambarkan bahawa anda tidak dapat menerima kekurangan diri mereka itu.
Mama dan papa kerap mendesak si introvert untuk menjadi individu yang lebih terbuka dengan menyuruh mereka menyertai acara sukan dan sebagainya. Taktik sebegini bukanlah cara yang bijak kerana keadaan bising dengan jeritan kanak-kanak yang seronok bermain itu akan menjadikan si introvert lebih tertekan.
Perlu difahami yang anakintrovert mungkin lebih cemerlang sekiranya melibatkan diri dalam sukan-sukan bersifat individu seperti berenang atau karate.
Hormati pilihan anak misalnya dengan siapa dia berkawan kerana mereka selalunya gemar memilih beberapa orang teman rapat dan tidak gemar berkawan dengan seluruh rakan sekelasnya.
Apa yang harus diberi keutamaan oleh ibu bapa ialah memastikan si anak memiliki sebuah hubungan persahabatan yang positif. Itulah asas kepada sesebuah perhubungan yang akrab.
Ibu bapa perlu memahami bahawa si introvert memerlukan ruang agar privasinya dihormati. Bagi ibu bapa yang ekstrovert, mereka beranggapan bahawa segala-galanya perlu dilakukan bersama tetapi tidak bagi introvert. Mereka lebih bahagia jika diberi sedikit ruang untuk menyendiri.
Kanak-kanak introvert yang memiliki adik-beradik ekstrovert boleh merasai wujudnya ketidakserasian sewaktu berbual. Ibu bapa perlu menyediakan sedikit ruang (one-on-one time) untuk memberikan mereka lebih ketenangan.
Di tadika, ibu bapa perlu memaklumkan keadaan introvert si manja kepada guru agar dia boleh memberikan masa untuk si manja menyiapkan diri dengan suasana baharu. Cara ini sangat membantu.
INFO: Tahukan anda individu introvert sangat bijak menyelesaikan sesuatu masalah. Mereka juga bijak dalam membuat perbandingan atau perbezaan. Selain itu mereka memiliki visual yang kreatif dan sangat ghairah untuk belajar dalam tempoh yang panjang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tindakan yang boleh kita buat apabila dipukul, dikasari dan dicederakan. Tular seorang wanita telah dipukul oleh seorang lelaki gara-gara terlanggar anaknya yang melintas secara tiba-tiba. Keganasan fizikal seperti dipukul merupakan satu perbuatan jenayah yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.